Kisah si pungguk, sepohon epal dan sang bulan


Malam itu seperti malam yang sudah-sudah, pungguk itu bertenggek di sebatang pohon, menunggu turunnya si bulan. Sudah dia katakan pada sang bulan,

"Aku tetap akan di sini, walau seribu tahun sekali pun aku disuruh menanti. Selagi aku belum mati, selagi kau tidak memberi kata yang pasti."

Tapi bulan tetap di situ. Tiada kata yang pasti menyuruh si pungguk pergi. Hanya apabila malam tiba, pungguk bercakap dan dia menemani. Pungguk bergelak dan bulan mengiringi. Hari-hari, malahan berbulan-bulan pungguk mengulangi perkara yang sama.

Bagi pungguk, segalanya masih begitu kabur, kendur untuk dia simpulkan kesudahannya. Maka kerana itu dia masih tabah menanti cintanya disambut oleh bulan. Sang bulan pula semakin kerap bercerita tentang keindahan yang dipujanya. Tanpa bulan menyedari, dalam senyum si pungguk nyata hatinya menangis.

*Bukk!*

Sesuatu jatuh.

"Ah.. Sebiji epal?"

Si pungguk mendongak melihat pohon yang seringkali dia bertenggek itu. Rupa-rupanya ianya pohon epal. Tidak pernah si pungguk sedari yang tempat dia bertenggek, bersandar mencurahkan kesedihan cinta yang tak kunjung tiba itu ialah sepohon epal.

"Makanlah epal itu sayang. Kuberi yang paling ranum dan manis isinya untuk kau"

Pohon epal bersuara. Si pungguk melihat dalam-dalam ke matanya. Dapat dilihat kasih si pohon epal itu.

"Akan tetapi jika kau meragui aku, janganlah kau makan epal itu. Aku akan menanti hingga keraguan itu pudar dari hatimu."

Sambung si pohon epal, keikhlasan melantun dari lembut suaranya. Si pungguk menggigit epal yang jatuh ke ribaannya tadi. Manis sekali. Kerana manisnya epal, pungguk telah terlupakan lara di hatinya. Perlahan, nama bulan yang terukir di hatinya beransur-ansur hilang.

Masa berlalu dan si pungguk terus setia bertenggek di dahan sepohon epal. Tetapi kali ini bukan kerana menanti si bulan. Kali ini kerana menemani sepohon epal, tempatnya bersandar.



tidak lagi..

dahulu,
saat aku ralit
memintal benang-benang rasa
untuk disulamkan kemas ke hati-hati kita.
kau dengan kejam,
merenggut hingga putus
hilang tak bertali arus..


sedang detik berlari-lari
hati yang berkarat jadi reput.
akhirnya hancur,
tinggal habuk..


siang tadi,
kala ku siram titis-titis kasih
untuk ku jelmakan sebaris pelangi,
kau muncul di halaman.
memohon untuk ku pintal kembali,
bebenang rasa yang terkubur mati.
lihat sini kawan,
baca puisi ini..
benang tak mungkin dipintal lagi.




310310
tghaributa.
kandang
sehabis test BEL


pelangi : tiba dan pergi

kelmarin aku mencuri lihat pelangi itu
indah.
aku tahu,
kau tahu aku mengintaimu
kerana itu kau diam
dan aku terus tergamam.

warna-warni dirimu pelangi,
terbias, mengenai diri
merembes dan mencorakkan satu lukisan
di dalam hati

terkial-kial aku memadamnya
tapi aku gagal
kau gunakan pena
untuk melukis di hatiku
sekaligus,
meninggalkan bekas di sini (di hatiku)

semalam,
kau melambai tanda menoktahi
tanda cukup sampai di sini
aku mengerti
aku tertawa geli hati
hati kecewa pelangi pergi


kenapa pelangi asyik tiba dan pergi?

Kicau kacau

siang siang

aku berkicau riang

melompat-lompat senang

hati berbunga sayang


kicau kicau

hatiku rayau

melihatnya sasau

malam jadi igau


malam malam

aku tenggelam

hilang terdiam

tahan luka terdalam


tajipepis022220
25Februari2010


Hari Khamis hari apa?

"Huarghh...~"
aku mengeliat dengan bergaya sekali..

Hari ini sangat santai. Kelas Pak Hassan Muthalib dibatalkan sebab dia masih lagi berada di Berlin sempena Berlin International Film Festival. Sebuah filem pendek hasil karya bekas senior JRV di polikteknik bertajuk 'Sujud' telah dibawa oleh Encik Hassan ke sana untuk di tayangkan.

Syabas kepada Remy, Karim, Mamat dan Dien. Walaupun karya mereka dibawa ke sana bukanlah untuk dicalonkan, tetapi ianya tetap membanggakan. It's a long journey right?

Untuk junior-junior JRV yang masih menuntut ilmu di Perlis, contohilah mereka. Jangan asyik mengata dan mengeji orang lain sedangkan semuanya salah diri sendiri. Satu jari kita menuding kepada orang lain, tetapi empat jari lagi menuding kembali kepada diri sendiri. Aku memang tak layak untuk menasihati korang, jadi ini adalah ingatan terhadap diri sendiri juga.

Baiklah, sebenarnya aku nak promote laman web Kapasitor.net. Laman web ini memberi peluang kepada amatur-amatur seperti kita yang baru berjinak-jinak di dalam dunia seni untuk menyerlahkan bakat kita.

Daftarlah di sini dan korang boleh menghantar karya-karya berbentuk penulisan seperti puisi, cerpen dan novel di dalam tiga bahasa, iaitu Bahasa Malaysia, Bahasa Indonesia dan Bahasa Inggeris. Karya-karya ini kemudiannya akan dikomen dan dinilai supaya korang dapat memperbaiki karya dan kemudiannya dapat menghasilkan karya-karya yang bermutu.

Korang boleh juga menghantar hasil lukisan atau hasil seni fotografi untuk dinilai dan dikomen. Jangan risau, ahli-ahli di Kapasitor semuanya sangat sporting dan kool. Untuk mereka yang mencari networking, inilah masanya. Penyertaan terbuka kepada sesiapa sahaja! Jadi korang jangan tunggu lama-lama, klik sini untuk daftar sekarang!


Hari Khamis ialah Hari Kapasitor! Yeayy!!